Operasi SAR AirAsia QZ8501 Dihentikan Sepenuhnya

Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan sepenuhnya pada Selasa, menurut jurucakap rasmi misi tersebut.

 

Setakat ini, seramai 56 mangsa masih belum ditemui.

 

Pesawat AirAsia QZ8501 terhempas dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura pada 28 Disember lalu  yang mengorbankan 162 penumpang.

 

Operasi tersebut dikecilkan beberapa minggu lalu dengan kapal antarabangsa menarik diri termasuk beberapa kapal tentera Indonesia.

 

Namun, operasi SAR diteruskan dalam skala yang lebih kecil dengan hanya beberapa mayat dan serpihan ditemui.

 

Ketua BASARNAS, S.B.Supriyadi berkata, operasi tersebut akan dihentikan sepenuhnya pada Selasa dan kapal yang terlibat akan dibawa pulang.

 

“Kesemua empat kapal terbabit akan pulang ke Jakarta esok (Rabu) pagi,” katanya.

 

Seramai 106 mangsa telah ditemui dengan penemuan terbaru pada Sabtu sebanyak tiga mayat berjaya dibawa keluar dari bawah serpihan, katanya.

 

Badan utama pesawat berjaya dibawa keluar pada bulan lepas.

 

Keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes yang membayangkan penamatan operasi tersebut pada minggu lalu.

 

Tony berkata, operasi tersebut berjaya dan ia tidak boleh diteruskan tanpa had masa.

 

“Ada tempoh masa dan kami telah mendapatkan persetujuan dengan keluarga yang ia tidak akan diteruskan tanpa had masa”, katanya.

 

Kotak hitam perakam data pesawat tersebut telah pun ditemui.

 

Menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia, laporan lengkap berkenaan nahas tersebut akan didedahkan pada Ogos depan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.