Michael Jackson Maut Terlanggar Bahu Jalan

Puchong – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang terbabas melanggar bahu jalan di Kilometer S3.7, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar Puchong Intan, lewat malam kelmarin.

 

Dalam kejadian jam 10.49 malam itu, mangsa, Michael Jackson @ J Stephan dipercayai dalam perjalanan dari arah Putrajaya ke Subang Jaya.

 

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa terbabas, sebelum melanggar bahu kiri jalan.

 

Sumber berkata, mangsa terpelanting beberapa meter dan jatuh di jalan mati bersebelahan laluan lebuh raya tersebut.

 

“Kejadian hanya disedari orang awam yang melihat mayat mangsa di tepi jalan, sebelum bertindak menghubungi ambulans.

 

“Pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan mangsa yang cedera parah sudah meninggal dunia,” katanya.

 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sehubungan itu orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohammad Zul Helmi Khalid ditalian, 03-78627222 bagi membantu siasatan. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.