MB Kelantan Bentang Pindaan Enakmen Hudud

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan dalam persidangan DUN Kelantan hari ini menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta’zir.

 

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada jam 11 pagi ini.

 

Mengikut Rang Undang-undang tersebut, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.

 

Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah:

 

  • Sariqah (mencuri)
  • Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)
  • Zina termasuk liwat
  • Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)
  • Syurb (minum arak atau memabukkan)
  • Irtidad (murtad)

 

Menteri besar dalam ucapan pembentangannya menegaskan bahawa undang-undang itu hanya akan dikuatkuasa ke atas orang Islam.

 

“Di sini saya nak jelaskan bahawa Kanun Jenayah II adalah terpakai kepada orang Islam sahaja iaitu orang Islam yang mukalaf yang melakukan kesalahan di bawah Kanun ini, di negeri ini.

 

“Ini bermakna, Kanun ini sama sekali tidak terpakai ke atas orang bukan Islam,” tegasnya.

 

Beliau turut menggunakan peluang itu untuk menangkis dakwaan bahawa undang-undang itu zalim dan tidak berperikemanusiaan.

 

Ahmad berkata, pihak yang mempersoalkan perkara itu adalah “orang-orang yang tidak beriman”.

 

“Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim dan tak perikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tak beriman.” – MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.