Kualiti Jalan Raya Selangor Teruk Berbanding Negeri Lain

Kualiti jalan raya di Selangor dilihat agak terkebelakang berbanding negeri lain walaupun Selangor merupakan negeri paling maju di Malaysia, akui Dr Idris Ahmad.

 

Pengerusi jawatankuasa pilihan mengenai pihak berkuasa tempatan (PBT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu berkata, masalah penyelenggaraan jalan raya antara isu yang menjadi perhatian jawatankuasa terbabit selain isu sampah.

 

“Aduan berkenaan keadaan jalan yang berlubang dan tidak rata serta kualiti penurapan semula jalan utama sering menghiasi dada akhbar tempatan,” katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Bangunan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

 

Dr Idris berkata, walaupun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan negeri untuk menangani masalah itu, aduan demi aduan masih diterima.

 

Disebabkan itu, Dr Idris berkata pihaknya memutuskan untuk menyiasat dengan lebih terperinci isu terbabit dan akan membuat saranan yang sewajarnya selepas mengambil kira aduan, pandangan serta cadangan daripada pihak yang berkaitan dalam satu penyata jawatankuasa yang akan dibentangkan pada sidang kedua DUN pada Julai nanti.

 

Katanya, jawatankuasa akan mendapatkan maklumbalas secara bertulis daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan prosedur (SOP) yang diguna pakai dalam penyelengaraan jalan di negeri itu.

 

“Jawatankuasa seterusnya akan memanggil pakar dalam isu ini sebelum membuat saranan kepada kerajaan negeri,” katanya yang juga Adun Ijok.

 

Adun Bukit Gasing, R Rajiv berkata, jawatankuasa terbabit akan mengadakan kaji selidik terhadap semua PBT dan JKR menangani masalah jalan raya dan SOP yang diambil bagi membaikinya.

 

Antara ciri-ciri kerosakan jalan termasuk jalan berlubang, retak, tumpahan simen, serta jalan yang diturap tetapi masih terhakis.

 

Katanya, kaji selidik juga mendapati jalan yang dipotong untuk pemasangan utiliti seperti paip air dan kabel bawah tanah menjadi faktor utama kondisi jalan raya yang bermasalah.

 

“Lebih 70% kerosakan disebabkan potongan jalan untuk buat kabel dan kerja pemasangan paip bawah tanah sehingga menyebabkan jalan berlubang.

 

“Sebelum ini, ada isu yang melibatkan isu yang mengarahkan Indah Water menghentikan kerja pemasangan paip kerana mereka merosakkan keadaan jalan,” katanya.

 

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali semasa membentangkan bajet defisit 2015 dalam DUN tahun lalu memperuntukkan RM600 juta bagi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), satu jumlah yang besar bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya.

 

“Jumlah ini merupakan peruntukan MARRIS terbesar dalam sejarah pentadbiran negeri Pakatan Rakyat (PR) sejak 7 tahun lalu,” kata Rajiv.

 

Katanya, hasil kajian itu nanti akan dibangkitkan dalam DUN serta cadangan akan diberikan pihak jawatankuasa untuk diguna pakai oleh PBT.

 

“Mereka (PBT) tidak terikat dengan undang-undang untuk memenuhi cadangan jawatankuasa, cuma dijadikan sebagai pertimbangan. Tetapi sekarang apa-apa saranan yang kami bagi mereka perlu beri laporan kepada DUN kalau enggan mengikuti saranan yang dicadangkan jawatankuasa,” katanya.

 

Menyentuh isu sampah, Dr Idris berkata peningkatan ketara kes demam denggi di Selangor sejak kebelakangan ini antaranya berpunca daripada pengurusan sampah dan sisa pepejal serta pembersihan awam yang dilihat tidak konsisten serta tidak memuaskan.

 

Jelasnya, antara aduan awam yang paling ketara adalah sampah tidak dikutip mengikut jadual dan pembuangan sampah pukal merata-rata termasuk tepi jalan dan sungai.

 

Katanya, selain daripada sikap pengguna sendiri, pihaknya mengakui kelemahan PBT memastikan kutipan sampah dan pembersihan kawasan awam dapat dijalankan mengikut jadual. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.