Hudud: Pas Tikam Belakang DAP – Anthony Loke

Kuala Lumpur – Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menegaskan DAP membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

 

Beliau berkata tindakan PAS Kelantan itu telah mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan PR.

 

“Tindakan itu adalah satu keputusan yang melanggari Dasar Bersama PR dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan PR.

 

“DAP konsisten dengan pendirian bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tegasnya, pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tertinggi (CEC) pada 23 Mac 2015 di Kuala Lumpur selepas ‘ditikam dari belakang’ oleh PAS Kelantan pada hari ini.

 

Ahli Parlimen Seremban itu juga berkata mesyuarat tersebut bagi membincangkan dan memutuskan hala tuju DAP dalam PR.

 

Tambahnya, PR tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) selagi ada ‘musuh dalam selimut’ yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO.

 

“Sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam kerangka PR selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan Hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam PR.

 

“DAP komited untuk menjayakan misi PR sebagai kerajaan alternatif untuk menggantikan BN yang korup dan boros.

 

“Namun, kami sedar ada pihak-pihak tertentu dalam PAS yang lebih cenderung memberikan ‘pelampung’ kepada UMNO untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai skandal rasuah yang didedahkan kebelakangan ini,” ujarnya.

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung isu ini:

 

 

Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 18 Mac 2015 di Kuala Lumpur

 

DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

 

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini adalah satu keputusan yang melanggari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

 

DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

 

DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

 

Sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

 

DAP komited untuk menjayakan misi Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional yang korup dan boros. Namun, kami sedar ada pihak-pihak tertentu dalam PAS yang lebih cenderung memberikan “pelampung” kepada UMNO untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai skandal rasuah yang didedahkan kebelakangan ini.

 

Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada “musuh dalam selimut” yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO.

 

Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat CEC pada hari Isnin, 23 Mac 2015 di Kuala Lumpur untuk membincang dan memutuskan halatuju DAP bersama Pakatan Rakyat selepas “ditikam dari belakang” oleh PAS Kelantan pada hari ini.

 

-LOKE SIEW FOOK-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.