DUN Kelantan Selesai, Perbahasan Pindaan Ditangguh Esok

Kuala Lumpur – Pembentangan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum Hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru sahaja selesai.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mula membentangkannya pada pukul 11 pagi tadi membabitkan Rang Undang-undang setebal 47 muka surat dengan sokongan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).

 

Astro Awani melaporkan, perbahasan pindaaan enakmen akan ditangguhkan hingga ke pagi esok.

 

Ia juga turut menyenarai jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan, antaranya Sariqah (mencuri), Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan), Zina termasuk liwat, Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat), Syurb (minum arak atau memabukkan) dan Irtidad (murtad).

 

Rang Undang-undang tersebut juga menekankan bahawa, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya dan menjamin tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

 

Selain itu laporan Awani juga menyatakan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang dibentangkan di DUN Kelantan juga menetapkan kesalahan murtad boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan.

 

“Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim dan tidak berperikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tidak beriman,” katanya merujuk kepada mereka yang masih mengkritik undang-undang tersebut.

 

Beberapa pindaan juga dibentangkan termasuk memansuhkan peruntukan yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam, sama ada ingin dibicarakan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil, peruntukan yang memberi pengecualian dari hukum hudud, termasuk peruntukan untuk tidak memotong tangan seseorang pencuri yang sudahpun cacat di sebelah tangan, dan sekiranya pesalah itu memperoleh hak mengikut undang-undang ke atas harta yang dicuri itu, sebelum penghakiman dibuat.

 

Pengecualian yang dibuat hari ini adalah sama seperti yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang dibentangkan oleh PAS ketika mentadbir Terengganu pada sidang DUN negeri itu pada 2003.

 

Turut dipinda ialah beban bukti kes zina dan liwat di mana rang undang-undang baru membolehkan penuduh memberi keterangan melalui syahadah atau bayyinah (keterangan yang jelas) dan kebal daripada hukuman jika kemudiannya ditentukan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan salah laku itu.

 

Kesalahan liwat antara suami dan isteri pula memperuntukkan hukuman ta’zir sekiranya didapati bersalah.

 

Pindaan baru ini juga memansuhkan peruntukan yang menyatakan perbuatan seks antara perempuan, necrofilia (mayat) dan binatang sebagai jenayah.

 

Bagaimanapun, Rang Undang-undang itu mengekalkan hukuman rejam sampai mati, sula dan salib. -Free Malaysia Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.