Dua Beranak Terlepas Hukuman Mati

REMBAU – Dua beranak terlepas hukuman mati apabila pihak pendakwaan menukar pertuduhan terhadap mereka daripada membunuh kepada menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba merompak mereka bulan lalu.

 

Moo He Hong, 56, dan anak lelakinya Moo Wee Keong, 28,bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicara atas pertuduhan itu.

 

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan niat bersama melakukan satu perbuatan gopoh sehingga menyebabkan kematian Chan Boon Poh, 42, berhampiran rumah No A113 Kampung Baru Cina Tambahan, Air Kuning Selatan,dekat Gemencheh, Tampin.

 

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Majistret Mahyun Yusof menetapkan kes untuk sebutan semula pada 30 April depan di Majistret Gemas.

 

Beliau membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,500 setiap seorang dengan penjamin rakyat Malaysia.

 

Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli melakukan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela Gobind Singh Deo.

 

Pada 10 Mac lalu ketika kali pertama dituduh di mahkamah sama, dua beranak terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 kerana membunuh mangsa. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.