‘Aku Baham Mu Dengan Golok..’

KUALA TERENGGANU – ‘Aku baham mu dengan golok atau pisau, biar senang mati belaka’ merupakan antara kata-kata ugutan ditujukan oleh tertuduh, Roki Ismail, 45, kepada isterinya semasa perselisihan faham antara keduanya di kediaman mereka di Kampung Kubang Parit, di sini.

 

Roki mengaku salah atas tuduhan dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, Junaidah Jaafar, 43, pada lebih kurang jam 1 pagi, 23 Februari lalu dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

 

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, lebih kurang jam 5.30 petang, semasa berada di rumah, anak perempuan pasangan terbabit yang berusia 15 tahun telah dimaklumkan oleh neneknya bahawa mangsa (emak) telah dipukul oleh Roki (ayah).

 

Kejadian berpunca daripada Roki yang juga seorang penagih dadah selalu mengungkit kisah lama dan menuduh Junaidah mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sedangkan mangsa tidak pernah berbuat sedemikian.

 

Anak gadis pasangan itu turut dimaklumkan bahawa ayahnya telah menampar muka emaknya dan kejadian seumpama itu telah kerap kali berlaku sebelum ini menyebabkan emaknya sakit di bahagian tepi badan.

 

Bagaimanapun, pada 22 Februari lalu, semasa sedang lena tidur, anak gadis pasangan terbabit terdengar ayahnya memarahi mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan ‘aku baham mu dengan golok atau dengan pisau, biar senang mati belaka’.

 

Anak gadis pasangan itu tidak tahan melayan kerenah ayahnya yang turut menyebabkan adik beradiknya hidup dalam tekanan serta tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran kerana selalu memikirkan masalah keluarga, dan mengambil keputusan membuat laporan polis agar Roki dikenakan tindakan sewajarnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.