Agong Kurnia Watikah Pelantikan Empat Perwakilan Malaysia Ke Luar Negara

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Rabu berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara di sini.

 

Mereka ialah Datuk Zulkifli Adnan yang akan menjadi Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datuk Adnan Othman (Austria), Ahmad Rozian Abd Ghani (Kuwait) dan Mohamad Nizan Mohamad (Korea Utara).

 

Zulkifli, yang telah berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1983 pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Bosnia Herzegovania pada 2008 dan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Maritim sejak 2011.

 

Adnan pula pernah memegang jawatan Duta Besar di Kemboja (2005) dan Kuwait (2011).

 

Ahmad Rozian, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Strategi sebelum dilantik menjadi Konsul Jeneral Malaysia di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia pada 2012.

 

Mohamad Nizan, pula pernah berkhidmat sebagai Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Harare, Zimbabwe pada 2010 sebelum bertugas sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Thailand dari 2013.

 

Terdahulu, Tuanku Abdul Halim turut berkenan menerima watikah pelantikan 10 ketua perwakilan asing ke Malaysia.

 

Mereka terdiri daripada Duta Besar Myanmar U Zaw Myint, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Dr John Anton Subritzky, Duta Besar Kyrgyzstan Kylychbek Sultanov, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Md Shahidul Islam dan Duta Besar Thailand Damrong Kraikruan.

 

Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan Samkelisiwe Isabel Mhlanga, Duta Besar Algeria Nasreddine Rimouche, Pesuruhjaya Tinggi Uganda Stephen Mubiru, Duta Besar Rusia Valery Yermolov dan Duta Besar Colombia Victor Hugo Echeverri Jamaramillo.

 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perhubungan Dua Hala Kementerian Luar Datuk Ramlan Ibrahim. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.