Kadar Dividen KWSP Merosot, Tapi Lim Guan Eng Dakwa Prestasi Terbaik

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa kadar dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tempoh kewangan 2018, kelmarin adalah terbaik dan memberangsangkan.

“Ini adalah satu prestasi yang baik walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, dan ramai pihak termasuk pakar sebelum ini meramalkan tidak mungkin dapat enam peratus, malah lima peratus pun sukar.

“Tetapi kita buktikan sebaliknya. Malah ekonomi negara jiran seperti Thailand dan Singapura pun tidak baik seperti kita,” kata Lim Guan Eng, dipetik dari laporan BH.

Pengumuman dividen KWSP 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional kelmarin menyaksikan kemerosotan berbanding dividen 6.90 peratus yang diumumkan bagi tempoh kewangan 2017 sebelum ini.

Manakala kadar dividen untuk Simpanan Syariah KWSP menyaksikan penurunan dari 6.4 peratus kepada 5.9 peratus.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksinya terhadap kemerosotan kadar dividen ini menyuarakan kebimbangan apabila KWSP tidak lagi mengambil kira sebarang rosot nilai pegangan ekuitinya bermula tahun 2018.

Najib dalam hantaran di Facebooknya kelmarin berkata, beliau bimbang apabila KWSP tidak lagi mengambil kira sebarang rosot nilai ke atas pegangan sahamnya bermula 2018.

Tindakan itu dijangka akan memberi kesan kepada pendapatan KWSP pada tahun-tahun akan datang.

“Jika kerugian dari susutnilai akibat kejatuhan saham-saham yang dipegang oleh KWSP diambil kira seperti tahun-tahun sebelum 2018, maka kadar dividen untuk 2018 tidak akan setinggi 6.15%.

“Ini tidak salah dalam segi undang-undang tetapi ianya akan memberi kesan kepada pendapatan KWSP untuk tahun-tahun mendatang jika nilai saham tidak pulih.

“Amalan KWSP untuk tidak lagi mengambil kira sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya pada tahun 2018 berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – SuaraTV

2 thoughts on “Kadar Dividen KWSP Merosot, Tapi Lim Guan Eng Dakwa Prestasi Terbaik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.