PGA Gagalkan Cubaan Seludup Syabu Bernilai RM1.4 Juta

Kehadiran lima lelaki menaiki tiga motosikal dalam keadaan mencurigakan di Kampung Telok Melano, Sematan membawa kepada rampasan syabu seberat lima kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta, Khamis lalu.

Suspek warga Indonesia berusia 26 hingga 56 tahun itu ditahan pada 4.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Pegawai Pemerintahnya Superintendan Mohammad Sar’ie Fauzi berkata, suspek yang tergamam dengan kehadiran polis tidak sempat meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada beg sandang yang dibawa suspek menemui lima bungkusan aluminium yang mempunyai serbuk kristal dipercayai syabu.

“Suspek dalam perjalananan dari kawasan di Telok Melano untuk menyeludup dadah berkenaan ke negara jiran menggunakan laluan tikus.

“Bagaimanapun, mereka dipintas pasukan PGA yang menjalankan rondaan di kawasan sempadan sebelum sempat membawa masuk dadah ke Temajuk, Kalimantan Barat.

“Suspek menerima upah tertentu bagi membawa masuk dadah ke negara jiran, namun polis masih mengumpul maklumat lanjut mengenai perkara itu,”katanya, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengesan dalang penyeludupan syabu berkenaan.

Katanya, polis percaya penahanan suspek berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah membabitkan dua negara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati,” katanya. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.