Subhan Kamal Calon Tunggal Presiden FAS?

 

KUALA LUMPUR “Tunggu dan lihat,” itulah jawapan Datuk Seri Subahan Kamal mengenai desas-desus bahawa beliau merupakan calon tunggal untuk jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

 
FAS bakal mengadakan pemilihan untuk semua jawatan exco pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Khamis ini, selepas Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan pada 26 Januari lepas.

 

Subahan yang merupakan Naib Presiden FAS dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkata, keputusan sama ada beliau bakal memegang jawatan itu atau tidak, bergantung kepada 95 anggota gabungan FAS yang akan hadir pada EGM itu.

 

“Kalau saya dipilih pun saya tiada masalah kerana sebelum ini pun, saya merupakan nadi pasukan Selangor. Walaupun jadi presiden KHM, saya tetap membantu pasukan Selangor, tiada sebarang perubahan dari segi beban kerja.

 

“Saya tidak berani untuk jawab apa-apa kerana keputusan akan diambil oleh ahli gabungan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM di sini, hari ini.

 

Media sebelum ini melaporkan Subahan akan menang tanpa bertanding selepas menjadi nama tunggal yang dicalonkan untuk jawatan nombor satu FAS selepas tempoh pencalonan berakhir Khamis lepas.

 

Menurut Subahan, individu yang bakal memegang jawatan itu mesti pandai mencari dana, menguruskan pasukan dan mempunyai kredibiliti untuk melaksanakan tanggungjawab kerana bola sepak sentiasa mendapat perhatian masyarakat.

 

Sebagai rekod, Subahan pernah membantu skuad Gergasi Merah itu merangkul tiga kejuaraan pada tahun 2005, iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia sebagai penolong pengurus. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.