Selangor Pendahulu Liga Super Lepas Kalahkan Felda United 3-1

KUALA LUMPUR — Pasukan Selangor merampas kedudukan teratas dari Kedah, selepas menang 3-1 ke atas Felda United pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dekat sini, malam tadi.

 

Kedudukan tersebut dijangka berubah sekiranya Kedah berjaya menewaskan Kelantan pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, hari ini.

 

Pada aksi di Selayang, Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi pemain import dari Romania, Victor Astafei yang melakukan tendangan lambung untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Harun.

 

Skuad Gergasi Merah menggandakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Mohd Raimi Mohd Nor selepas pemain berkenaan menyumbat masuk bola setelah sepakan penalti Francis Forkey Doe ditepis Mohd Farizal.

 

Pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Rosid menjaringkan gol ketiga Selangor pada masa tambahan babak pertama perlawanan, sebelum pemain import dari Argentina, Lucas Cano mengurangkan defisit jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-84 selepas menanduk masuk bola hasil hantaran rakan sepasukan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.