PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa Rempuhan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan rasa dukacitanya terhadap tragedi lapan remaja yang terkorban dalam kemalangan ketika berbasikal di Johor Bahru pagi tadi.

 

Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

 

“Baca berita tadi mengenai 8 remaja & kanak-kanak yang maut akibat dirempuh kenderaan di Johor pagi tadi. Amat menyedihkan. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya di akaun Twitternya @NajibRazak, hari ini.

 

Kemalangan 3 pagi itu berlaku ketika lapan remaja berkenaan bersama sekumpulan remaja sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai sehingga menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, tindakan remaja itu menyebabkan sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dari Taman Pelangi tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan remaja berkenaan.

 

Kejadian turut mengakibatkan lima lagi remaja patah kaki, dua tidak stabil berikutan pendarahan di dalam otak dan seorang pula luka di kepala. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.