Korea Utara Tolak Hasil Bedah Siasat Kim Jong-Nam

KUALA LUMPUR – Korea Utara akan menolak sebarang hasil bedah siasat ke atas mayat abang pemimpin negara itu, Kim Jong-nam, yang dilakukan di sini.

 

“Pihak berkuasa Malaysia melakukan bedah siasat tanpa kebenaran dan kehadiran kami. Kami akan menolak hasil bedah siasat yang dilakukan secara sebelah pihak yang mana kami tidak hadir,” kata Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol kepada wartawan di luar Institut Perubatan Forensik Negara, di sini malam tadi.

 

Ini adalah kenyataan rasmi pertama dikeluarkan oleh pihak Korea Utara sejak pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Isnin lalu.

 

“Hari ini saya bertemu pegawai tinggi polis Malaysia dan meminta supaya segera serahkan mayat kepada kami, tetapi beliau menolak,” kata duta itu dalam transkrip berbahasa Inggeris yang diedarkan kepada media oleh pegawai beliau.

 

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat dilaporkan berkata keluarga diberi keutamaan untuk menuntut mayat Jong-nam. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.