Basikal Rosak Disita DBKL, Pemilik Minta Ganti Rugi

KUALA LUMPUR – Malang buat seorang pemilik basikal apabila pengangkutan yang selalu dinaikinya itu telah disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika diletakkan di perhentian bas Wisma Sentral.

 

Pemilik basikal tersebut, Khirunnizam Mohd Lani mendakwa kejadian tersebut berlaku 13 Februari lalu dan menyedari kerosakan pada basikalnya itu pada keesokan harinya.

 
“Basikal milik saya telah ditunda oleh pihak DBKL ke Depoh Simpanan Miharja dan keesokan harinya (14 Februari) saya telah ke tempat tersebut untuk mengambil basikal tersebut.

 
“Tiba di tempat tersebut, saya melihat basikal saya telah mengalami kerosakan yang teruk seperti kemek, bengkok, calar dan ada juga yang diconteng menggunakan marker. Anggaran kerosakan adalah RM3500,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

 

Di samping itu, beliau juga turut dikenakan caj kompaun sebanyak RM300 untuk caj penundaan, caj simpanan dan kompaun kesalahan.

 

Tambah Khirunnizam lagi, beliau dimaklumkan bahawa basikal tersebut disita atas sebab menggangu lalu lintas.

 

“Selama setahun basikal tersebut sering dikunci di kawasan itu dan sangat tidak masuk akal kerana tiada fasiliti yang diwujudkan untuk para penunggang basikal persendirian di sini.

 

“Selain itu, penunggang basikal terpaksa menerima tindakan sebegini dari pihak DBKL dan basikal ini juga merupakan punca pendapatan utama untuk saya,” katanya lagi.

 

Cubaan bertemu dengan pihak DBKL mengenai perkara tersebut juga turut menemui jalan buntu apabila hanya diberikan jawapan yang sama.

 

Pihak beliau kini telah membuat satu laporan polis untuk menuntut ganti rugi berhubung perkara berikut.

 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam DBKL, Hassan Azhari Abu Bakar setakat ini tidak memberikan komen terhadap perkara ini dan menasihati supaya mengambil tindakan undang-undang jika timbul isu tidak puas hati.

 

“Jika sudah membuat laporan polis, kita serahkan pada pihak tersebut untuk membuat siasatan,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.