Acong Tunai Hasrat Arwah Pak Yus

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelawak, Acong Sweet Child berkata, penyertaannya dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 bersama Tauke dan Ropi membentuk kumpulan baharu, Nice sebagai memenuhi hasrat arwah Pak Yus.

 

Acong atau nama sebenarnya, Ahmad Fauzi Manat, berkata Allahyarham Pak Yus ketika hayatnya, pernah mengajaknya menyertai Jambu yang dibentuknya bersama Tauke untuk bersaing dalam pertandingan itu, namun tidak menjadi kenyataan.

 

“Penyertaan bersama Tauke dan Ropi pada persaingan terbaru ini saya anggap sebagai menunaikan permintaan arwah Pak Yus. Alhamdulillah, hasrat arwah itu saya penuhi selepas lebih setahun pemergiannya.

 

“Saya tahu bukan mudah menggantikan tempat Pak Yus yang begitu serasi dengan Tauke. Kami akan mencuba sebaik mungkin dalam mencari keserasian sepanjang persaingan MLM 2017. “Saya akui begitu teruja kerana tidak menyangka akan bertanding bertiga kali ini,” katanya.

 

Pak Yus Jambu atau nama sebenarnya, Yussry Edoo menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun pada 30 November 2015.

 

Sementara itu, Acong yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza bakal tampil dengan single terbaru, Doa Dariku bagi mengubati kerinduan peminat terhadap suaranya.

 

“Single itu adalah percaturan saya dalam bidang nyanyian dan diterbitkan Rusa Music. Lebih istimewa, lirik lagu itu ditulis oleh anggota Sweet Child,” katanya.

 

 

Selain Acong, Sweet Child turut dianggotai oleh Yem (keyboard), Aalan (gitar), Ijan (bass) dan Pet (dram) pernah mencipta nama pada dekad 1990-an.

 

 

Antara lagu popular mereka ialah Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan.-BH

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.