Video: Saya Dah ‘Tutup Buku’ Untuk Berniaga Di Malaysia – Adik TPM

Kuala Lumpur – Bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif masyarakat Pengerusi Real Time Networking Sdn Bhd, Datuk Abdul Hakim Hamidi memutuskan untuk tidak lagi menjalankan sebarang perniagaan dengan pihak kerajaan khususnya yang melibatkan kementerian yang diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau yang juga merupakan adik kepada Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut diambil setelah berbincang dengan pihak keluarganya.

 

 

“Pihak keluarga telah nasihatkan saya supaya tidak lagi meneruskan apa-apa aktiviti (perniagaan) yang melibatkan kementerian terutama yang melibatkan abang saya. Untuk pengetahuan, kita sudah tidak terlibat lagi dengan (sebarang perniagaan yang melibatkan kemasukan pekerja asing) semua kita dah ‘cut off’.

 

“(Keputusan itu dibuat) atas nasihat keluarga kerana lebih baik kita jangan buat (sebarang) perniagaan di negara ini, kami telah tutup buku untuk pernigaan di Malaysia” katanya ketika wawancara eksklusif bersama SuaraTV.

 

Menurut Abdul Hakim lagi adalah tidak wajar sekiranya isu ini dikaitkan dengan kronisme sedangkan beliau mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang tersebut.

 

“Sebenarnya masalah kronisme ini tidak wajar dikaitkan dengan saya kerana saya sendiri mempunyai kelulusan di bidang retro mekanikal manakala perniagaan saya difokuskan dalam bidang IT, malah sebelum Datuk Seri (Ahmad Zahid) menjadi ahli politik dan kemudiannya dilantik sebagai menteri saya telahpun berada di dalam bidang teknikal IT ini.

 

“Secara kebetulan apabila beliau dilantik sebagai menteri yang menerajui Kementerian Dalam Negeri adakah tidak wajar untuk saya memberikan pandangan berdasarkan pengalaman dan kebolehan yang ada. Apakah hanya disebabkan abang saya menjawat jawatan menteri saya perlu menutup semua pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada?” soalnya pula.

 

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari sebelum ini menggesa agar syarikat Abdul Hakim dikeluarkan daripada senarai syarikat yang membida untuk menguruskan kemasukan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh secara sistem atas talian, kata Zairil Khir Johari.

 

Pada 25 Jun lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

 

Abdul Hakim turut menegaskan adalah tidak wajar beliau dihukum hanya kerana mempunyai seorang abang yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.

 

“Saya rasa ini sudah tidak adil dan tidak demokratik, sebagai contoh andai kata abang saya merupakan seorang kapten kapal dan saya merupakan salah seorang penumpang kapal tersebut.

 

“Dan kebetulan kapal tersebut mengalami (masalah) senget dan bocor, apakah saya tidak lagi boleh memberikan sebarang pandangan dan pendapat hanya kerana abang saya merupakan kapten kapal tersebut.

 

“Apakah wajar kita membiarkan semua penumpang kapal mati sedangkan saya (berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada) tahu kaedah untuk membaikpulih masalah tersebut” ujarnya pula. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.