Najib Tidak Seharusnya Pulangkan Lebihan Wang Derma RM2 Bilion – PKR

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulangkan kembali lebihan wang derma berjumlah kira-kira RM2 bilion yang diperolehinya daripada Timur Tengah.

 

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana lebihan wang derma itu jika diserahkan kepada Putrajaya tentu akan dapat menyelesaikan isu 1.5 juta pekerja warga asing, isu #2kerja dan isu belia Malaysia bersedia atau tidak mengambil alih kerja-kerja 3D tidak akan berlaku.

 

“Najib seharusnya menggunakan (lebihan) RM2 bilion itu untuk membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia.

 

“Jika Perdana Menteri Najib Razak memahami isu pasaran kerja ini sepenuhnya, dan oleh sebab “derma” itu tidak salah di sisi undang-undang seperti yang dikata Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya pulangkan RM2 bilion lebihan dari “derma Sheikh Saudi,” itu.

 

“Beliau sepatutnya “menderma” jumlah (lebihan) yang besar itu kepada Putrajaya untuk membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Naib Ketua Angkata Muda PKR berkata sebelum ini PKR juga telah mencadangkan kepada kerajaan supaya menyumbang prasarana kerja dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

 

“Dalam belanjawan tersebut, satu dana khas yang bernilai RM2 bilion dicadangkan untuk membantu usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil memperbaharui, menggerakkan dan menyesuaikan operasi untuk memenuhi keperluan gaji minima.

 

“Walaupun gaji minima hanya salah satu dari beberapa teras utama untuk menyelesaikan masalah pasaran kerja, ia merupakan satu langkah asas yang cukup penting,” katanya lagi.

 

Sehubungan itu, Fahmi menggesa kerajaan hentikan segera rancangan “pelaburan” 1.5 juta pekerja warga asing dan fokus kepada pelaburan pendidikan dan modal insan yang merupakan strategi lebih mampan untuk masa depan pasaran kerja Malaysia. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.