Jepun Beri Jaminan Bantuan Lebih RM320 Juta Kepada Palestin

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam berjanji akan menghulurkan bantuan ekonomi berjumlah AS$78 juta (RM323.70 juta) kepada penduduk Palestin termasuk bagi membina semula Genting Gaza dan membantu pelarian, lapor agensi berita Jiji Press.

 

Ikrar itu dinyatakan pada pertemuan Abe de­n­gan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Tokyo awal minggu ini.

 

Semasa pertemuan mereka, Abe turut berjanji bahawa Jepun akan bekerjasama untuk mencapai keamanan di Asia Barat termasuk menerusi penglibatan dalam persidangan multilateral bagi membincangkan isu Palestin.

 

Kedua-dua pemimpin itu mengulangi pendirian mereka untuk terus mencari penyelesaian aman berhubung krisis Palestin-Israel dan mendesak supaya rejim Zionis menamatkan pembinaan penempatan baharu untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat.

 

Abe menyatakan kesediaan Jepun memainkan peranan aktif di bawah inisiatif antarabangsa yang diusulkan oleh Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius pada bulan lalu.

 

Perdana Menteri itu turut menyuarakan kepada Abbas berhubung rancangannya menghantar utusan khas Jepun bagi Asia Barat, Masharu Kono untuk mengaturkan usaha bantuan kepada Palestin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.