Hina Pemimpin Negara, ‘Ratu Naga’ Didakwa Di Mahkamah

SEPANG – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan kesalahan berhubung penghantaran komen di laman sosial Facebook yang menghina pemimpin negara.

 

Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, yang menggunakan nama ‘Ratu Naga’ di laman sosial Facebook didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

 

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Oktober tahun lalu, kira-kira jam 12.01 tengah malam menerusi laman profil Facebook ‘Ratu Naga’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

 

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula untuk peguam hadir dan serahan dokumen.

 

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohd Adzhar. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.