Video: Editor TRS Ditahan Di Bawah Akta Hasutan

Singapura – Dua individu dari The Real Singapore (TRS) ditangkap dan disiasat polis kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan lapor, laman web TRS.

 

Kedua-duanya, seorang rakyat Singapura berusia 26 dan seorang wanita warga Australia, 22, ditahan oleh polis Singapura pada 6 Februari lalu.

 

Mereka dikatakan pemilik laman web sosio-politik.

 

 

Polis dikatakan membuat siasatan mengenai sebuah artikel yang diterbitkan oleh TRS yang memaparkan kenyataan seorang saksi mengenai kejadian yang berlaku ketika acara sambutan Thaipusam, baru-baru ini.

 

Pihak polis berkata, mereka menerima laporan pada 6 Februari mengenai ‘satu artikel yang tidak sensitif’ yang dimuat naik secara online.

 

Saksi dalam artikel yang dimuat naik di TRS, mendakwa tangkapan yang dibuat pada 3 Februari lalu disebabkan oleh satu keluarga Filipina yang membuat aduan bunyi bising oleh pemain urumi (salah satu jenis gendang) di simpang Jalan Serangoon dan Desker selepas anak mereka menangis dan membuat laporan polis supaya mengambil tindakan.

 

 

Video mengenai kenyataan itu dilihat 279 kali sementara artikel itu dikongsi lebih lima ribu kali.

 

Kebanyakan mereka yang memberi komen tidak puas hati kerana menyebut ‘keluarga Filipina’ di dalam artikel dan video berkenaan.

 

Menurut seorang saksi insiden Thaipusam mendakwa tiada sebarang ‘keluarga Filipina’ yang terbabit.

 

Dalam kejadian itu pada jam 6.50 petang, kumpulan pemain gendang urumi diminta menghentikan pemainan mereka kerana ia bersalahan dengan syarat polis yang mengeluarkan permit untuk acara perarakan berkenaan.

 

Namun, kumpulan itu dikatakan enggan dan seorang lelaki berusia 33 tahun dari kumpulan berasingan terus berhadapan dengan anggota polis untuk membantah.

 

Laman Stomp melaporkan, walaupun diminta bertenang, lelaki itu terus bersikap kasar, menyebabkan anggota polis terpaksa menahannya.

 

“Ketika anggota polis menahan lelaki itu, dua lelaki lain berusia 32 dan 28 tahun cuba menghalang sementara seorang lagi lelaki berusia 32 tahun bertindak menyerang tiga anggota polis,” kata laporan itu.

 

Mereka dikatakan turut melemparkan kata-kata kesat terhadap pihak polis. Suspek dikatakan minum minuman keras sebelum kejadian itu.

 

Larangan menggunakan alat muzik ketika perarakan telah dikuatkuasa di Singapura sejak 1973.

 

Sementara itu, dalam satu kenyataan terbuka oleh TRS di laman web, ia menyatakan:

 

“Seorang daripada Editor yang terlibat dalam mengurus The Real Singapore telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis, termasuk empat lagi berkenaan artikel mengenai insiden Thaipusam, iaitu sebuah artikel yang ditulis berdasarkan maklumat terkumpul dari beberapa saksi.

 

Sedikit hari lagi, kami akan menerbitkan artikel penuh menyatakan secara jelas apa yang boleh kami kongsikan. Ini mungkin termasuk cara kami bekerja dan siapa di belakang laman web ini tetapi buat masa ini, ia tidak sesuai untuk didedahkan kerana siasatan polis masih belum selesai.

 

Kedua-dua mereka masih lagi dalam tahanan polis dan siasatan kes ini masih dijalankan.

 

“Pihak polis memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengancam keharmonian sosial di Singapura,” kata jurucakap Pasukan Polis Sigapura (SPF).

 

Mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Hasutan kerana menggalakkan rasa tidak senang hati, permusuhan antara kaum atau kelas rakyat Singapura, boleh dikenakan denda tidak melebihi SGD5,000 (RM13,244.79) atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.