Urusniaga ‘Ubat Seks’ Di Laman Sosial Lumpuh

Kuala Terengganu – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas ubat tidak berdaftar dan dicemari racun berjadual dalam dua serbuan berasingan bernilai kira-kira RM112,000.

 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata rampasan pertama melibatkan sejumlah 50 jenis ubat-ubatan dan barangan kosmetik bernilai kira-kira RM100,000 yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dicemari racun berjadual dilakukan pada semalam di sebuah premis pemborong yang terletak di Chukai, Kemaman.

 

“Dalam serbuan itu, turut dirampas ialah beberapa jenis ubatan lain selepas siasatan lanjut mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen dikeluarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan bagi membolehkan penjualan ubat-ubatan itu dibuat secara borong.

 

“Siasatan lanjut mendapati, premis itu merupakan pusat jualan dan stor utama yang bertanggungjawab mengedar dan menjual ubat-ubatan dan kosmetik kepada 21 cawangannya di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

 

Menurutnya, satu operasi penguatkuasaan juga telah dijalankan terhadap lima premis cawangannya di negeri ini dimana ketika serbuan dilakukan, pemilik premis tersebut yang berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an dikatakan tidak berada di situ.

 

“Bagaimanapun, pemiliknya telah diberi amaran dan nasihat berhubung keperluan untuk mendaftarkan ubat-ubatan ini dan bahaya penjualannya kepada orang awam.

 

“Antara ubat-ubatan yang dirampas dalam serbuan itu termasuklah ‘Kapsul Super Resdung’, ‘Al-Taqwa Resdung’ dan ‘Al-Taqwa Skylline’ yang telah disahkan tidak berdaftar dan disyaki mengandungi racun jenis ‘dexamethasone’, ‘chlorpheniramine’ dan ‘phenylpropanolamine’ yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 serta tidak dibenarkan untuk diguna dalam produk makanan atau ubat-ubatan tradisional,” katanya.

 

Dalam pada itu, Dr Mohammad berkata serbuan kedua telah dilakukan pada 12 Feb terhadap kenderaan dan kediaman milik seorang penjawat awam di Manir dekat sini.

 

Katanya, pihaknya juga telah merampas sejumlah 50 jenis ubat-ubatan perangsang seks dan pelangsing badan dengan nilai rampasan keseluruhan yang dianggarkan bernilai RM12,000.

 

Antara jenama ubat-ubatan yang dirampas itu termasuklah ‘Bestslim’, Semenex’, ‘Catuaba’, ‘Tissue Super Magic Man’ dan ‘Vimax Men Delay Spray’ yang tidak berdaftar dengan pihak kementerian.

 

Selain itu, terdapat ubat perangsang seks dalam bentuk gula-gula getah iaitu ‘Sex Love Chewing Gum’ yang turut dijual oleh suspek berusia 32 tahun itu.

 

“Dalam serbuan ini, pihak Cawangan Penguatkuasa Farmasi telah bekerjasama dengan syarikat CyberSecurity Malaysia dan turut merampas telefon bimbit yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut.

 

“Hasil analisa yang dijalankan mendapati, suspek menjalankan urus niaga menerusi laman sosial termasuk ‘WeChat’ dan ‘Facebook’ selain menggunakan aplikasi ‘Whatsapp’ untuk berkomunikasi dengan para pelanggannya,” katanya.

 

Beliau menegaskan, penjualan ubat yang mengandungi racun oleh seseorang yang tidak diberikan kuasa atau lesen adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

 

“Penjualan produk-produk yang tidak berdaftar dan bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pula merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang jika disabitkan, seseorang itu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama,” katanya.

 

Menurutnya dalam kes melibatkan kedua-dua rampasan itu, suspek akan disiasat sebelum tindakan pendakwaan dilakukan selepas bukti-bukti yang mencukupi diperolehi.

 

Ditanya nilai yang berjaya dirampas pihaknya pada tahun lalu, Dr Mohammad sejumlah hampir RM700,000 nilai ubat-ubatan dan kosmetik telah dirampas oleh cawangan Penguatkausa Farmasi jabatan itu atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan menerusi 60 operasi serbuan dan 400 pemeriksaan premis di seluruh negeri itu.

 

Selain itu, katanya sejumlah 43 kes telah didakwa di mahkamah dan kutipan denda hampir RM115,000 diperolehi atas pelbagai kesalahan tersebut sepanjang tempoh berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.