Umno Akan Kemuka Calon PRK Permatang Pauh Dalam Masa Terdekat

Bukit Mertajam – UMNO Pulau Pinang akan membuat permohonan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan sudah mempunyai senarai nama calon berpotensi, kata Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

 

Dipetik dari Berita Harian, Zainal Abidin bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan keputusan dalam menentukan calon berkenaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

 

Katanya lagi, permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Najib dalam tempoh terdekat, selepas Dewan Rakyat mengumumkan secara rasmi kekosongan kerusi itu.

 

“UMNO negeri akan mengambil pendirian untuk memohon dan meminta kelulusan daripada Presiden parti, supaya kami diberi peluang untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh.

 

“Ini kerana, kita mahu seramai 72,153 pengundi diberi peluang untuk merasai pembaharuan bersama UMNO,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama 92 Ketua Cawangan UMNO di Permatang Pauh, di sini, malam tadi.

 

Katanya, antara kriteria penting yang menjadi sandaran adalah calon mestilah anak tempatan yang tinggal di Permatang Pauh.

 

“Memang saya akui kita sudah ada beberapa nama calon, tetapi UMNO negeri menyerahkan keputusan berkenaan kepada Presiden untuk menentukan calon yang terbaik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.