Tuntutan Yang Keterlaluan Umpama ‘Duri 
Dalam Daging’ – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan segelintir pihak yang membuat tuntutan keterlaluan sehingga mengganggu keharmonian sebagai ‘duri dalam daging’ kepada pembinaan bangsa Malaysia.

 

Timbalan Perdana Menteri ber­kata, golongan tersebut hanya ingin memporak-perandakan keharmonian kaum di negara ini dan memuaskan nafsu politik jangka pendek mereka.

 

Namun, beliau percaya, rakyat Malaysia memahami erti keharmonian dan kestabilan yang dikecapi selama ini.

 

“Marilah kita rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama terus berikrar mengekalkan keharmonian serta perpaduan kaum menerusi kesedaran dan komitmen baharu.

 

“Formula kestabilan dan keharmonian negara yang telah diguna pakai selama ini bukan sahaja perlu dipertahankan bahkan dijana de­ngan penggemblengan lebih besar dalam proses integrasi kaum,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

 

Muhyiddin menambah, kestabilan dan keharmonian yang lebih utuh sesama rakyat akan memberi lebih banyak keuntungan kepada semua pihak.

 

Beliau memberitahu, formula yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu hingga sekarang dalam menguruskan perbezaan antara kaum adalah kunci kepada kemakmuran negara.

 

“Kehidupan rakyat yang aman dan sempurna telah dijadikan prasyarat utama sehingga membawa kepada kejayaan dan kemajuan negara hari ini,” ujarnya.

 

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berbanding dengan negara lain yang sentiasa bergolak walaupun rakyatnya tidak berbilang bangsa, Malaysia masih gagah berdiri sebagai negara contoh kerana hubungan kaum yang harmoni.

 

Beliau memberitahu, keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk adalah jauh lebih istimewa dan lebih berjaya jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain.

 

“Lebih menarik dan unik, suasana keharmonian di Malaysia turut dijelmakan ketika musim perayaan dengan amalan kunjung-mengunjungi dan rumah terbuka,” jelasnya.

 

Muhyiddin juga berharap semoga tahun ini memberi lebih banyak kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat serta negara. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.