Taufik Batisah Nafi Bercinta Dengan Fazura

Sepanjang menjayakan program realiti lawak popular Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) sebagai juri tetap yang berakhir 6 Februari lalu, ramai yang mula tertarik dengan penghibur terkenal Singapura, Taufik Batisah, 33.

 

Selain memiliki wajah tampan, single terbarunya, Awak Kat Mana yang kini sering berkumandang di kebanyakan stesen radio, berjaya memenangi hati sebahagian besar peminat muzik tempatan.

 

Dilihat dari latar kerjaya seninya, Taufik bukanlah nama baru. Selain muncul sebagai penyanyi Melayu paling popular di Singapura, album dihasilkan pernah juga dipasarkan di sini sekitar 2009 dibawah syarikat rakaman Suria Records.

 

Kolaborasinya dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa menerusi lagu Aku Bersahaja juga banyak membantu mengukuhkan namanya sebagai penyanyi disegani di Nusantara.

 

Dalam pelbagai kejayaan diraih sejak menjuarai rancangan realiti popular Singapura Idol pada 2004, nyata MLM2014 dilihat lebih berjaya membawa Taufik untuk bertapak kukuh di sini, hingga lagu Awak Kat Mana diterima ramai.

 

Program itu juga menjadikan namanya jadi sebutan apabila dikaitkan dengan gosip bercinta dengan seorang lagi juri MLM2014, Fazura.

 

Taufik yang ditemui pada malam kemuncak MLM2014 dan turut menyampaikan lagu Awak Kat Mana, mengakui perkara itu. Katanya, waktu sama ada yang memperlekehkan karya popularnya yang kini makin diminati dan menjadi ikutan dan siulan ramai.

 

“Mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang memang berasa hairan apabila saya muncul dengan lagu seperti Awak Kat Mana.

 

“Ia ternyata berbeza sekali dengan apa yang pernah saya cipta dalam album sebelum ini. Kebanyakan karya saya baladanya lebih tebal, lirik bermain dengan perasaan dan susunan muziknya besar. Lagu baru saya ini satu karya ringan.

 

“Saya kalau hasilkan lagu mengambil masa berhari-hari tetapi untuk lagu ini hanya beberapa jam. Saya buat untuk suka-suka tetapi tidak sangka apabila didengarkan kepada peminat, mereka menggemarinya terutama peminat muda,” katanya.

 

Kata Taufik, dia melihat perkembangan itu dari sudut positif kerana ada peminat baru dan muda yang tidak tahu karya dihasilkan sebelum ini, akan mencari dan mahu mendengarnya selepas mendengar Awak Kat Mana.

 

“Ternyata Awak Kat Mana membuka pintu mereka untuk mengenali Taufik Batisah. Apabila lagu ini diminati ramai, saya dan pihak pengurusan mengambil keputusan memasukkannya dalam album terbaru, Fique. Ia sudah dipasarkan di Singapura pada Disember tahun lalu,” katanya.

 

Mengenai reaksi peminat apabila dia muncul dengan lagu Awak Kat Mana, Taufik akui pada peringkat awal ada yang berasa meluat tetapi mereka tetap ikut menyanyikannya.

 

“Kalau lihat pada liriknya pun terlalu ringkas. Tapi tidak sangka walaupun ada yang membencinya tetapi tetap mendengarnya. Bukan itu saja, sampaikan ada yang terikut-ikut dengan rentak tariannya. Apabila ia menjadi fenomena saya benar-benar terkejut,” katanya.

 

Walaupun Awak Kat Mana menjadi kegilaan ramai, Taufik tidak bercadang menjadikan ia sebagai genre pilihan atau konsep albumnya selepas ini.

 

Mengenai gosipnya dengan Fazura yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa, penyanyi yang mempunyai kelulusan dari Singapore Polytechnic itu mengatakan ia hanyalah andaian penonton setia program lawak terbabit.

 

Katanya, penonton suka dan memberi reaksi setiap kali dia dan Fazura memuat naik gambar bersama di laman sosial masing-masing.

 

“Dari situ timbul cerita mengatakan kami sedang menjalin hubungan cinta. Hakikatnya, tidak mungkin saya dan Fazura mempunyai apa-apa hubu­ngan istimewa kerana menganggapnya seperti adik,” katanya.

 

Fazura pula sebelum ini mengakui suka berkawan dengannya dan tidak menolak jika Taufik sudah jodohnya. Fazura juga memuji Taufik sebagai seorang yang bijak dan memang sukakan karaktor lelaki begitu.

 

Waktu sama, Taufik menghargai peluang diberikan Astro apabila mempelawanya menjadi juri tetap MLM2014, kerana impaknya sangat besar sehingga namanya dikenali di sini.

 

Selain Taufik dan Fazura turut dipilih sebagai juri tetap MLM2014 ialah Farah Quinn dari Indonesia serta Datuk Jalaluddin Hassan.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.