Taska Dera Budak, Ditutup

Kuala Lumpur – Taska yang terlibat dalam dakwaan kes penderaan anak juruhebah Radio24 BERNAMA, Nazira Noran, kini ditutup.

 

Menurut sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), taska itu diarah tutup oleh pengurusan RapidKL, iaitu pengurusan yang menguruskan pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

 

“JKM mengeluarkan notis untuk pusat jagaan itu didaftarkan apabila kami mendapati ia beroperasi tanpa lesen.

 

“Namun, Khamis lalu, pihak pengurusan dalaman mengarahkan pusat itu ditutup selepas mendapati ia beroperasi walaupun tanpa lesen,” kata sumber itu kepada The Rakyat Post.

 

RapidKL tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

 

Berkenaan siapa yang bertanggungjawab dalam dakwaan penderaan itu, sumber berkata, individu itu masih belum dikenalpasti.
“Kami masih belum tahu bagaimana penderaan itu boleh berlaku dan kami belum mendapat laporan perubatan lagi,” katanya.

 

Sementara itu apabila dihubungi, Nazira mendakwa hospital di mana anaknya dibawa untuk dibuat pemeriksaan selepas insiden itu dikatakan belum mengeluarkan laporan perubatan.

 

“Pihak hospital perlu memberi laporan perubatan itu kepada pihak polis untuk membantu siasatan, tetapi mereka belum melakukannya,” katanya.

 

Sebelum ini, Nazira tidak menolak lebam di badan anaknya itu mungkin disebabkan oleh kanak-kanak lain.

 

Pada 22 Januari lalu, suami Nazira mengambil anak mereka berusia setahun lapan bulan, dari taska itu dan mendapati tanda kecederaan di badan anaknya itu.

 

Pengasuh memberitahu suaminya bahawa dia tidak melihat apa-apa tindakan penderaan dan hanya sedar mengenai tanda kecederaan di tubuh kanak-kanak itu ketika untuk dimandikan pada jam 2.30 petang.

 

Nazira berkata pengasuh tidak terus memberitahunya mengenai penemuan itu, sebaliknya menunggu sehingga suaminya mengambil anak mereka, petang itu. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.