Tambang Feri Pulau Pinang Bakal Naik?

Butterworth – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bercadang membuat semakan tarif untuk perkhidmatan ferinya yang bakal menyaksikan peningkatan kadar tambang bagi semua jenis penumpang.

 

Notis hebahan dengan pekeliling itu telah dikeluarkan pihak SPPP sejak Isnin di Terminal Sultan Abdul Halim Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown.

 

Menurut pekeliling itu, kadar tambang yang dicadangkan bagi motosikal bakal dinaikkan daripada RM2 kepada RM3.50, kereta daripada RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki daripada RM1.20 kepada RM2, dan basikal daripada RM1.40 kepada RM1.50 sen.

 

Harga tiket bermusim untuk pelajar turut dicadang dinaikkan kepada RM6 daripada RM3, manakala dewasa kepada RM50 daripada RM30.

 

Bagi lori dua gandar empat tayar, ia dicadang dinaikkan kepada RM20 daripada RM13.20, sementara bagi lori dua gandar enam tayar kepada RM40 daripada RM27.50.

 

Kali terakhir tambang feri Pulau Pinang disemak adalah pada tahun 2005.

 

Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang mengendalikan feri Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan mengalami kerugian RM16 juta setiap tahun berikutan terpaksa menanggung kos bahan api yang tinggi bagi mengekalkan kadar tambang semasa.

 

Sementara itu, cadangan menaikkan harga tambang feri mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan penumpang feri di negeri itu yang kurang bersetuju dengan kadar terbaharu yang disifatkan terlalu tinggi.

 

Malah kenaikan itu agak membebankan pengguna yang turut berdepan dengan kenaikan harga barang.

 

Namun pengguna feri Pulau Pinang diberi ruang untuk mengajukan pandangan terhadap cadangan ini kepada pihak MPPP sehingga 2 Mac sebelum cadangan ini dimuktamadkan. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.