SPR Tetapkan PRK DUN Chempaka 22 Mac

Putrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan.

 

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 10 Mac ini sementara pengundian awal akan diadakan pada 18 Mac ini.

 

Pengumuman ketiga- tiga tarikh itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK DUN Chempaka di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

 

Berdasarkan keputusan hari ini juga, tempoh berkempen selama 12 hari diperuntukkan.

 

Abdul Aziz berkata, kos keseluruhan bagi mengadakan PRK berkenaan adalah RM810,000 sementara 403 orang petugas akan dilantik.

 

Katanya, sebanyak 21,890 pemilih layak mengundi pada PRK itu dengan 20,390 pengundi biasa, 1,497 pengundi awal dan tiga pengundi tidak hadir (luar negara).

 

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lalu kerana kanser prostat.

 

Pada Pilihan Raya Umum ke13, Nik Abdul Aziz yang mewakili Pas di DUN Chempaka berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti undi sebanyak 6,500 undi.

Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.