Polis Tahan Dua Pelajar IPT Disyaki Muat Naik Poster Provokasi

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang disyaki memuat naik poster berunsur provokasi di media sosial.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata poster provokasi yang dimuat naik dua pelajar tersebut berkaitan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah.

 

Menulis di laman Twitter peribadinya, Khalid memaklumkan pelajar dari Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu akan ditahan reman.

 

“PDRMsia semlm telah menahan 2 Penuntut, Unisel dan USM kerana muat naik berikut. Mereka akan di reman,” tulis beliau.

 

 

Polis sebelum ini berkata akan mengesan pemilik akaun YouTube ‘isis malaysia 69′ bagi membantu siasatan berkaitan cubaan menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah negara ini.

 

Terdahulu sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Anak Muda Malaysia mengugut untuk mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan dengan menyerang mahkamah pada 11.30 malam, Rabu ini.

 

Di dalam sebuah rakaman video berdurasi 1:01 minit itu, empat lelaki bertopeng itu memberi amaran akan mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah dengan membakar mercun.

 

Berlatarkan bendera Malaysia, empat orang individu itu berbaju hitam dan turut menutup muka dengan topeng hitam turut memberitahu ‘perjuangan’ mereka baru sahaja bermula.

 

Ia disusuli dengan kata-kata cacian terhadap demokrasi.

 

Dalam keterangan video itu,empat individu tersebut juga didapati menghasut anak muda seluruh Malaysia supaya bersama perjuangan kumpulan tersebut.

 

Tindakan empat individu tersebut menyerupai video ugutan yang pernah dilakukan oleh para pemberontak di timur tengah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.