Pisau Cukur Dalam Kuih

Kota Kinabalu – Seorang pemilik kedai kopi terkejut apabila menemui beberapa keping pisau cukur tertanam dalam kuih kelupis yang dijualnya.

Peniaga kedai tersebut percaya ada individu yang cuba mensabotaj perniagannya dengan meletakkan kepingan pisau cukur berkenaan dalam kuih tradisional tersebut.

 

Kuih kelupis merupakan sejenis kuih yang diperbuat daripada tepung beras pulut. Ia merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei di Sabah dan Sarawak.

 

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 35, berkata dia baharu sahaja membuka perniagannya di bandar Beaufort apabila tiba-tiba seorang pelanggannya menunjukkan kepingan pisau cukur yang terdapat dalam kuih berkenaan pada pukul 9 pagi, 14 Februari lalu.

 

“Saya sangat terkejut dan membawa kuih kelupis tersebut ke balai polis dan membuat laporan pada pukul 4 petang hari yang sama,” katanya dipetik mStar.

 

Kuih kelupis yang dijual oleh Awang sangat digemari masyarakat tempatan dan popular di daerah tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Supritendan Mustaffa Maarof mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik gerai tersebut. Beliau berkata pihak polis kini sedang menyiasat isu berkenaan.

 

“Kami sentiasa memantau perkara ini kerana nyawa orang awam di daerah ini mungkin terancam sekiranya insiden yang sama berulang kembali,” katanya. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.