Penyamun Dipercayai Berkomplot

SEREMBAN – Kes samun yang mengakibatkan sebanyak enam kotak wayar emas bernilai RM934,084 yang dibawa lari oleh sekumpulan penjenayah kelmarin, dipercayai perbuatan terancang.

 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya kini sedang menyiasat kes berkenaan membabitkan pelbagai sudut siasatan, termasuklah berkomplot.

 

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum dapat mengesahkan lagi sebarang keputusan kerana kes masih dalam siasatan.

 

“Kita menyiasat perkara ini dari pelbagai sudut yang relevan, termasuklah siasatan terhadap pemandu lori dan pengawal keselamatan yang dipercayai sudah berkomplot.

 

“Namun itu, hanyalah sekadar siasatan awal, belum dapat disahkan apa-apa. Bagaimanapun, keterangan daripada pemandu lori dan pengawal keselamatan terbabit sudah pun diambil untuk tindakan susulan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Komuniti Kepolisian sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Terminal One, di sini, semalam.

 

Tambahnya, hasil siasatan awal pihaknya telah berjaya mendapatkan beberapa petunjuk bagi mengesan kesemua suspek, dan sehingga kini siasatan lebih mendalam sedang dilaksanakan sebelum tindakan lanjut dibuat.

 

Kelmarin, seorang pemandu lori syarikat penghantaran dan kelindannya berdepan detik mencemaskan apabila lori dinaiki mereka yang membawa muatan wayar emas dianggarkan bernilai RM934,084 dikepung oleh penjenayah sebelum disamun di Jalan Seremban-Tampin berhampiran susur masuk ke Taman Tuanku Jaafar.

 

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, muka mangsa turut disimbah minyak petrol sebelum kelindan lori dibawa menaiki kereta suspek dan ditinggalkan di Kilometer 228 Lebuhraya Plus di Simpang Ampat. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.