PBT Jangan Hanya Pandai Keluar Lesen Sahaja

SUNGAI PETANI – “Pihak berkuasa tempatan (PBT) jangan (hanya) pandai keluarkan lesen sahaja.”

 

Itu peringatan sinis Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh kepada PBT di seluruh negara sewaktu diminta reaksinya berhubung isu mesin judi haram yang tidak berkesudahan sejak sekian lama.

 

Seakan-akan meluahkan kekecewaan, Mohmad Salleh berkata, tugas untuk membanteras kegiatan tidak bermoral itu hakikatnya tidak dipikul oleh polis semata-mata seperti anggapan banyak pihak.

 

“Saya tahu lesen itu mustahak untuk PBT mendapatkan cukai. Tetapi dalam masa sama, PBT perlu juga berperanan untuk memeriksa dan menyerbu lokasi yang menjalankan kegiatan itu kerana mereka sendiri ada penguat kuasa.

 

“Saya fikir kalau kami (polis dan PBT) bekerjasama dengan lebih baik serta bertukar-tukar maklumat, insya-Allah perkara ini dapat dihapuskan 100 peratus. Dan saya juga percaya, jika pusat hiburan keluarga tidak diberikan lesen, masalah ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

 

Hadir sama timbalannya, Datuk Mazlan Mansor; Komander Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (Stagg), Datuk Rodwan Mohd. Yusof serta Timbalan Komander Stagg, SAC Khairi Ahrasa.

 

Utusan Malaysia dalam laporan khasnya sebelum ini mendedahkan kegiatan mesin judi haram sudah kembali beroperasi di beberapa negeri sehingga menampakkan seolah-olah pengusahanya tidak gentar dengan ‘perang’ yang diisytiharkan polis sejak Oktober lalu.

 

Ditanya berhubung dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kewujudan tangan ghaib serta komplot mengenai kegiatan itu, Mohmad ‘menjemput’ mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan dalam perkara itu supaya bertemunya sendiri bagi menyampaikan maklumat.

 

“Tentang tangan ghaib itu, saya tak tahulah. Tetapi kalau sesiapa yang tahu mengenainya, datang kepada kami dan beritahu siapa mereka agar kami boleh ambil tindakan. Tidak guna kita tuding jari secara umum, susah hendak buat kerja. “Kalau rasa maklumat itu akan bocor, boleh datang terus kepada saya atau Timbalan (Mazlan Mansor). Tak kira sama ada orang media atau sesiapa saja, datang saja kepada kami dan ceritakan secara spesifik siapa orangnya untuk kami siasat,” katanya.

 

Mohmad dalam pada itu turut menafikan dakwaan mengatakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk memerangi tauke-tauke judi terlibat.

 

“Saya fikir undang-undang sedia ada memadai kerana selain daripada dituduh di mahkamah terbuka, kita juga ada undang-undang pencegahan seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) atau AMLA.

 

“Apa pun bagi saya semua pihak perlu membantu menyalurkan maklumat kepada kami agar tindakan boleh diambil. Sebagai pengarah JSJ, saya memegang kepada prinsip bahawa aktiviti perjudian secara haram ini perlu dibanteras secara total,” katanya.

 

Difahamkan sejak Januari lalu, seramai 13 individu sudah diambil tindakan di bawah POCA pada tahun ini berbanding hanya 14 individu dikenakan tindakan sama sepanjang tahun lalu. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.