Lokasi Ponteng Sekolah Diserbu

SEBERANG TAKIR – Unggun api dipercayai untuk menghalau nyamuk, tilam dan pelbagai peralatan lain antara barang yang ditemui ketika Ronda Cegah Ponteng Sekolah – ‘Safe Village Programe’ yang dilakukan, semalam.

 

Pasukan ronda yang disertai Skim Rondaan Sukarela (SRS), Rakan Cegah Jenayah (RCJ), Komuniti Kepolisan Balai Polis Gong Badak dan JKKK itu dibuat sebagai usaha mengekang gejala ponteng membabitkan pelajar sekolah.

 

Operasi digerakkan seawal jam 8.30 pagi di sekitar beberapa sekolah di Kuala Nerus yang dikenal pasti sering berlaku aktiviti tidak sihat itu, namun tidak menemui pelajar kerana dipercayai maklumat mengenai operasi sudah tersebar awal.

 

Bagaimanapun, penemuan unggun api yang masih  bernyala membuktikan berlaku aktiviti ponteng, namun pelajar dipercayai beredar awal bagi mengelak tertangkap.

 

Pengerusi Komuniti Kepolisan Balai Polis Gong Badak, Md Azmi Abd Aziz berkata, operasi itu adalah yang kedua dilakukan pada tahun ini bagi mengekang gejala ponteng dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Menurutnya, operasi tertumpu di lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat pelajar untuk ponteng berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi kerjasama penduduk dan juga pemimpin kawasan.

 

“Tujuan utama kita melakukan operasi ini adalah untuk memastikan gejala tidak sihat dibendung segera bagi mengelak pelajar terjebak dengan aktiviti lebih merbahaya termasuk penagihan dadah.

 

“Meskipun operasi ini lebih kepada usaha memberi amaran kepada pelajar, kita berharap dengan adanya usaha pencegahan ini memberi peringatan kepada pelajar bahawa tindakan mereka sentiasa diperhatikan,” katanya.

 

Md Azmi berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi mengekang segala bentuk aktiviti tidak sihat yang boleh merosakkan masa depan golongan muda.

 

Katanya, operasi sedemikian akan dilaksanakan secara lebih kerap dan pihaknya tidak berdepan masalah tenaga untuk meronda memandangkan ramai ingin turut serta dalam program pencegahan berkenaan.

 

“Kita berharap perkembangan positif ini mampu diterapkan dalam diri semua masyarakat, dan individu tertentu diingatkan agar tidak bersekongkol dengan pelajar yang ponteng termasuk membenarkan mereka melepak di gerai-gerai.

 

“Usaha yang kita lakukan ini juga bertujuan membentuk masyarakat prihatin dan bertanggungjawab dengan tidak membiarkan pelajar terlibat dalam aktiviti yang boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya.

 

Seramai 20 peserta terlibat dalam operasi ronda cegah ponteng itu dengan menaiki motosikal yang berlangsung kira-kira empat jam. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.