Liwat II: 6 Tahun Umno Senyap, Hormati Mahkamah

KELANA JAYA – Selepas enam tahun dituduh sebagai perancang ‘konspirasi politik’ terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umno kini akan memberi penjelasan habis-habisan kepada rakyat berhubung kes liwat membabitkan Anwar.

 

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, ada pihak yang mempertikai mengapa Umno atau kerajaan pimpinan BN perlu memberi penerangan mengenai kes itu.

 

“Ada yang tanya bukankah cukup rakyat baca penghakiman, mengapa perlu penerangan lanjut?

 

“Jawapannya mudah. Selama enam tahun, inilah asas yang digunakan pasukan peguam bela Anwar, bahawa kes ini adalah konspirasi politik. Sehingga hari terakhir pun peguam bela kata ini konspirasi politik.

 

“Dan tuduhan ini dibuat terhadap Umno dan BN. Jadi sebagai parti politik, jangan anggap kami akan berdiam diri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Dialog bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di sini, malam ini.

 

Muhammad Shafee adalah ketua pendakwaan dalam kes liwat Anwar.

 

Menurutnya, selama enam tahun Umno tidak mampu buat apa-apa kerana menghormati proses perbicaraan di mahkamah.

 

“Jadi kami tunggu selepas kes ini selesai (di peringkat tertinggi) dan selepas ini tiada lagi perbicaraan.

 

“Kini Umno rasa penting untuk kita jelaskan sepenuhnya daripada orang yang paling layak untuk jawab tuduhan konspirasi politik ini,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.