Lim Kit Siang ‘Busuk Hati’ – Syed Ali

Kuala Lumpur – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar Ketua Umum DAP, Lim Kit Siang sebagai ‘busuk hati’ terhadap Barisan Nasional (BN) apabila menyatakan UMNO menggunakan taktik pecah-belah dan menimbulkan kesangsian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan DUN Chempaka.

 

Menurutnya, tokoh politik veteran itu yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah seharusnya memiliki sedikit hati yang jernih untuk melihat apa jua isu secara terbuka dan positif.

 

“Apabila hati sentiasa busuk, bersangka buruk, apa sahaja dilakukan kerajaan dilihat sebagai tidak baik walaupun manfaatnya besar kepada rakyat,” katanya menerusi catatan terbarunya di blog, umnobahagiancheras.com, semalam.

 

Sebelum ini, Kit Siang melalui kenyataannya memberi amaran dengan menyatakan UMNO dan BN akan berusaha memburukkan krisis yang melanda Pakatan Rakyat (PR) dengan tujuan memecah-belahkan perikatan antara parti politik itu (DAP, PKR dan PAS).

 

Beliau antara lain turut memberi peringatan agar BN tidak perlu mendekati kedua kawasan di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang dan DUN Chempaka, Kelantan.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Syed Ali menyatakan tindakan Kit Siang yang membuat tuduhan melulu terhadap BN berhubung isu berkenaan membuktikan DAP tidak mahu melihat wujudnya kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

 

Tambahnya lagi, keikhlasan pemimpin UMNO untuk tidak meletakkan calon di DUN Chempaka ternyata telah diputarbelitkan DAP.

 

“Walaupun isunya PRK DUN Chempaka, tetapi jauh daripada itu membuktikan DAP tidak senang hati bila orang Melayu (UMNO-PAS) khususnya di Kelantan boleh berpakat atas kepentingan bersama,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.