Kakitangan Awam Ditahan Jual ‘Chewing Gum’ Perangsang Seks

KUALA TERENGGANU – Rahsia seorang kakitangan awam menjual ubat perangsang seks di laman sosial sebagai punca pendapatan sampingannya terbongkar apabila dia ditahan oleh penguat kuasa Cawangan Penguat kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri, Khamis lalu.

 

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang ketika sedang menjalankan urus niaga dengan seorang pelanggan yang ingin mendapatkan ubat perangsang seks berhampiran pejabatnya di bandar Kuala Terengganu.

 

Hasil tangkapan itu, Cawangan Penguatkuasa Farmasi berjaya merampas 50 jenis ubat perangsang seks dan pelangsing badan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan bernilai hampir RM12,000 yang disimpan dalam kereta dan rumahnya di Manir.

 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, antara ubat yang dirampas adalah Bestslim, Semenex, Catuaba, Tissue Super Magic Man dan Vimax Men Delay Spray.

 

“Paling mengejutkan adalah penemuan ubat perangsang seks dalam bentuk gula-gula getah iaitu Sex Love Chewing Gum yang turut dijual lelaki tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Bahagian Farmasi, di sini semalam.

 

Hasil analisis pihak CyberSecurity Malaysia ke atas telefon bimbit suspek yang dirampas mendapati, lelaki itu menjalankan urus niaga melalui laman sosial seperti WeChat dan Facebook serta berkomunikasi dengan pelanggan menggunakan WhatsApp.

 

Difahamkan, lelaki berkenaan sudah menjalankan perniagaan itu selama dua tahun dan pendapatan bulanan yang diperolehnya begitu lumayan iaitu dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000.

 

Kesan berbahaya

 

Menurut Dr Mohammad, ubat perangsang seks yang dirampas itu didapati mengandungi Sildenafil, Tadalafil dan Verdanafil iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk (erectile dysfunction).

 

Beliau berkata, ia memberi kesan berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor, antaranya serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan penglihatan.

 

Ubat pelangsingan yang dirampas pula katanya disyaki mengandungi Sibutramine, iaitu sejenis ubat digunakan dalam rawatan penurunan berat badan yang bertindak mengurangkan nafsu makan.

 

“Antara kesan sampingan terhadap individu yang mengambil ubat ini adalah kegagalan jantung dan buah pinggang serta kesan kardiovaskular. Kedua-dua jenis ubat ini hanya boleh diperoleh setelah mendapat rawatan doktor atau dibekalkan oleh ahli farmasi berlesen melalui preskripsi doktor,” katanya.

 

50 jenis ubat-ubatan, kosmetik dirampas

 

Selain itu, dalam satu serbuan terbaru di Kemaman kelmarin, pihaknya turut merampas 50 jenis ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan serta dicemari racun berjadual bernilai lebih RM100,000 daripada sebuah premis pemborong produk kesihatan dan kosmetik.

 

Dr Mohammad berkata, turut dirampas adalah ubat-ubatan lain, selepas siasatan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen dari Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan bagi membolehkan penjualan ubat-ubatan secara borong dijalankan.

 

Katanya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan mendapati premis pemborong terletak di Chukai itu merupakan pusat jualan dan stor utama yang bertanggungjawab mengedar dan menjual ubat-ubatan serta kosmetik kepada 21 cawangannya di seluruh negara.

 

Antara ubat yang dirampas dalam serbuan itu adalah Kapsul Super Resdung, Al-Taqwa Resdung dan Al-Taqwa Skyline yang telah disahkan tidak berdaftar dan disyaki mengandungi racun dexamethasone, chlorpheniramine dan phenylpropanolamine.

 

“Kesemua ini merupakan racun yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 dan tidak dibenarkan di dalam produk makanan atau ubat-ubatan tradisional.

 

“Racun dexamethasone merupakan sejenis kortikosteroid yang digunakan untuk mengurangkan inflamasi. Ia digunakan dalam rawatan arthiritis, allergi dan asma.Chlorpheniramine adalah sejenis antihistamin yang selalu digunakan bagi rawatan alergi dan melegakan asma.

 

“Ubat-ubatan yang mengandungi phenylpropanolamine pula telah lama ditarik balik dari pasaran Malaysia kerana ia memberi kesan pendarahan otak di kalangan wanita berusia antara 18 hingga 49 tahun dalam masa tiga hari selepas pengambilannya.

 

“Kesan sampingan ubat-ubatan ini sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor, antaranya adalah jerawat, luka lambat sembuh, kulit menjadi nipis dan mudah lebam, osteoporosis (tulang reput), peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, glaukoma dan meningkatkan selera makan,” katanya.

 

43 kes ke mahkamah

 

Menurut Dr Mohammad, penjualan ubat mengandungi racun oleh seseorang tidak diberi kuasa atau dilesenkan menjadi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Penjualan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pula merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang boleh dikenakan denda RM25,000 dan penjara tidak lebih dari tiga tahun bagi kesalahan pertama.

 

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah merampas pelbagai jenis ubat-ubatan dan kosmetik bernilai hampir RM700,000 atas pelbagai kesalahan melalui 60 operasi serbuan dan 400 pemeriksaan premis di seluruh negeri.

 

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 43 kes telah didakwa di mahkamah dan memperoleh hampir RM115,000 kutipan denda atas pelbagai kesalahan.

 

“Oleh itu, kita minta semua penjual dan pengedar ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar dengan KKM agar segera menghentikan kegiatan mereka atau berdepan dengan tindakan daripada pihak berkuasa.

 

“Kita juga ingatkan semua pengguna supaya berhati-hati menggunakan ubat tidak berdaftar dengan kementerian. Ubat mengandungi racun berjadual perlu diperoleh daripada sumber sah sahaja seperti klinik, hospital atau farmasi kerajaan dan swasta.

 

“Jangan beli ubat, produk kesihatan dan bahan kosmetik melalui internet atau mana-mana media sosial kerana produk-produk itu mungkin tidak diluluskan kementerian.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak terlalu percaya dengan iklan atau tuntutan perubatan yang disiarkan di laman digital kerana kandungannya diragui dan mungkin membahayakan kesihatan orang awam.

 

“Sebarang pertanyaan atau makluman orang ramai boleh merujuk kepada Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri Terengganu atau mana-mana cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri lain,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.