Jangan Gadai Nyawa Minum Kopi Campuran

KUANTAN – Pengguna  bakal berdepan risiko maut jika masih berdegil menggunakan serbuk kopi campuran beracun yang dijual di kaki lima dan kedai ubat tradisional.

 

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata, penjualan kopi campuran yang dipercayai mengandungi racun sildenafil dan tadalafil semakin berleluasa disebabkan kedegilan orang ramai yang masih membelinya.

 

Menurutnya, walaupun pelbagai kempen dan penguatkuasaan dilakukan Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri, namun peniaga ubat kuat dan pil seks tetap menjual produk serbuk kopi kerana mempunyai permintaan tinggi.

 

“Orang ramai perlu peka dengan situasi tersebut  dan merujuk terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum membeli atau minum serbuk kopi campuran yang dijual di kaki lima dan kedai ubat tradisional.

 

“Jangan hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu, akhirnya menyebabkan badan binasa sehingga boleh membawa maut kerana racun yang terdapat dalam serbuk kopi campuran itu sangat merbahaya dan boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kronik,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Mohd Firdaus berkata, orang ramai seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada JKN jika mahu menggunakan atau membeli pil, ubat atau serbuk campuran kopi yang dijual di kaki lima dan kedai ubat.

 

“Ada sesetengah ubat kuat, pil seks dan serbuk kopi campuran yang terdapat di pasaran tidak memenuhi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

“Kalau boleh, pihak JKN perlu melakukan pemantauan dan operasi lebih kerap terhadap premis atau gerai di kaki lima yang menjual produk terbabit,” katanya.

 

Sebelum ini, Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri giat melakukan operasi di lokasi tumpuan aktiviti jualan ubat kuat dan kopi campuran tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.