Isu Dipecat Dari PKR, Khalid Beri Keterangan Pada ROS

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi keterangan secara bertulis kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam berhubung kes samannya terhadap PKR.

 

Abdul Khalid memaklumkan perkara itu melalui laman Facebooknya, hari ini.

 

“Semalam jam 11 pagi saya sempat memberi keterangan bertulis kepada Pengarah ROS (berhubung) kes saman terhadap PKR yang memecat saya tanpa mengikut tatacara dan peraturan di dalam Perlembagaan parti.

 

“Pada saya, apa yang penting ialah membetulkan sistem yang diamalkan PKR (ia) hendaklah bertepatan dengan agenda mempertahankan hak individu dan hak rakyat dalam mengurus pertubuhan. PKR hendaklah menunjukkan amalan reformasi seperti apa yang mereka laungkan,” tulisnya.

 

Sebelum ini, Abdul Khalid meminta ROS campur tangan dan meneliti proses pemecatan beliau dari PKR.

 

Katanya, walaupun undang-undang ROS tidak membenarkan urusan pertubuhan termasuk parti politik dibawa ke mahkamah, namun beliau akan menggunakan saluran itu.

 

Abdul Khalid dipecat daripada keahlian PKR kerana enggan mematuhi keputusan parti agar memberi laluan kepada Wan Azizah untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor.

 

Pada 1 Oktober lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke pejabat Ros di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung isu pemecatan tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.