Isteri Kaki Judi Diburu Lebih 30 Ah Long

KUALA LUMPUR – Seorang kaki judi mungkin terpaksa bersembunyi selama-lamanya selepas menjadi buruan 30 ah long.

 

Difahamkan, lelaki berusia 58 tahun itu sanggup menggadaikan nyawa ahli keluarganya sendiri selepas gagal melangsaikan hutang berjumlah lebih RM100,000 yang digunakan untuk berjudi.

 

Isterinya dikenali sebagai Lim tidak sanggup membayar hutang suaminya yang begitu banyak dan tidak tahan dengan ugutan ah long setiap hari.

 

Pasangan ini tidak lagi duduk sebumbung sejak lima tahun lalu. Namun suaminya dikenali sebagai Gwee, sering mengambil kesempatan ke atas Lim, 57, yang melunaskan sebahagian hutangnya.

 

“Selepas berpisah, kami sekeluarga gagal menghubunginya terutama sejak dua tahun lalu. Tetapi dia guna alamat rumah ini untuk berurusan dengan ah long. Bulan ini sahaja dia pinjam lebih RM60,000 daripada lebih 30 ah long.

 

“Setiap hari saya terima ugutan dari ah long berlainan. Mereka ugut akan cederakan kami. Rumah kami pernah disimbah cat pada September tahun lalu,” katanya.

 

Terbaru, pada 12 Februari lalu, Lim menerima ugutan daripada tiga ah long selang sejam. Gwee yang menghilangkan diri pula gagal dikesan. Malah cubaan anaknya menghubungi Gwee dibalas dengan herdikan bapanya yang jelas tidak mahu bertanggungjawab.

 

Lebih malang, Lim yang sering melunaskan hutang suaminya terpaksa menjual rumahnya di Johor Bahru demi melangsaikan hutang suaminya yang gemar berjudi.

 

“Saya harapkan suami akan bertaubat. Tetapi dia tidak pernah serik. Tidak mahu berubah,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, setakat 17 Februari tahun ini, pihaknya menerima 71 kes membabitkan pinjaman ah long dengan nilai lebih RM11.5 juta.

 

“Kebanyakan mereka yang meminjam ah long kerana kalah berjudi dan sebahagiannya masih gagal menyelesaikan hutang,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.