Atikah Jalin Hubungan Bersama Juruterbang

Pelakon drama Bila Hati Berbicara, Atikah Suhaimie belum bersedia berkongsi lanjut tentang teman lelakinya yang juga seorang juruterbang kerana gadis berusia 24 tahun ini menyatakan hubungan mereka masih terlalu baru.

 

“Maaf kalau jawapan saya klise. Saya berkawan dengan ramai orang, dengan sesiapa saja saya suka berkawan.

 

“Tentang dia (teman lelaki), kami berkawan dan baru sebulan kenal. Kami berjumpa kali pertama di sebuah salon. Itu saja yang saya boleh katakan,” ujarnya sambil tersenyum ketika diminta mengulas mengenai gosip percintaannya yang mula menjadi bualan ramai baru-baru ini.

 

Kata pelakon berasal dari Tampines, Singapura ini lagi, buat masa ini dia masih belum memikirkan soal mahu berumah tangga sebaliknya, mahu menumpukan pada kerjaya.

 

“Saya tidak dapat bayangkan yang saya akan berkahwin cepat sebab sekarang saya mahu tumpukan pada karier saya. Allhamdulillah, karier lakonan saya semakin rancak dan rezeki tidak putus.

 

“Drama Bila Hati Berbicara banyak memberi impak di mana sekarang semakin ramai peminat mengenali saya dan mungkin dalam masa 5 tahun orang boleh kenal.

 

“Syukur sebab walaupun pengikut saya di Instagram (IG) tidaklah terlalu ramai tapi mereka setia dan sentiasa memberi sokongan terhadap saya,” katanya yang mempunyai seramai 145,000 pengikut IG.

 

Lebih menggembirakan pelakon naungan MIG ini apabila berjaya tersenarai Top 5 dalam tiga kategori pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2014).

 

Dalam acara anugerah yang akan berlangsung pada 5 April nanti di Arena All Star Genting Highland itu, Atikah memberi saingan untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Dilayar menerusi drama Bila Hati Berbicara.

 

“Saya berbesar hati apabila tercalon dalam Top 5. Ini tandanya karier saya semakin ada peningkatan dan semakin ramai peminat mula nampak dan percaya bakat saya.

 

“Pencalonan ini juga sebagai penyuntik semangat untuk saya terus berikan lakonan terbaik pada masa akan datang,” katanya yang baru tiga tahun membina nama dalam industri lakonan tanah air.

 

Selain filem lakonannya berjudul Gudang Kubur yang kini masih lagi ditayangkan di pawagam, Atikah baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Bukan Isteri Sempurna.

 

Drama yang akan ditayangkan di slot Samarinda (TV3) pada Mac depan itu menggandingkannya dengan pelakon Dazreen Kamaruddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.