85 Maut Lima Hari Op Selamat

KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 kematian dicatat­kan sepanjang lima hari Op Selamat dijalankan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 12 Februari lalu.

 

Dalam tempoh itu, sebanyak 6,456 kes kemalangan jalan raya turut dilaporkan.

 

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abdul Latiff berkata, pecahan kematian mengikut kategori kenderaan adalah 55 motosikal, kereta (18), pejalan kaki (5), basikal (3) dan lain-lain (4).

 

Menurutnya, statistik kategori umur mangsa yang maut adalah antara 16 hingga 20 tahun (17 kematian) dan 21 hingga 25 tahun (sembilan kematian).

 

“Negeri-negeri yang mencatat­kan bilangan kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya adalah Perak (17), Johor (14), Selangor (13) dan Pulau Pinang (7),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Mohd. Fuad memberitahu, pada Op Selamat kali ini, pihaknya memberi tumpuan kepada 60 kawasan hitam yang kerap berlaku kemalangan maut.

 

“Sebanyak 17 kawasan hitam dikenal pasti di Johor, Perak (12), Kelantan (7) manakala di Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai enam lokasi,”jelasnya.

 

Tambah Mohd. Fuad, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 87,350 saman atau 17,000 saman sehari telah dikeluarkan ke atas pesalah trafik.

 

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti memandu me­lebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan melanggar lampu merah,”ujarnya.

 

Ujar Mohd. Fuad, sepanjang lima hari Op Selamat dijalankan, PDRM melalui rondaan berkereta dan motosikal telah melakukan 4,899 pemeriksaan ke rumah-rumah yang ditinggalkan kosong.

 

“Sepanjang tempoh itu juga, hanya 571 laporan balik kampung diterima daripada tuan punya rumah atau premis dan jumlah ini adalah amat rendah.

 

“Sehubungan itu, PDRM berharap lebih ramai akan tampil ke balai polis berhampiran untuk melaporkan rumah mereka akan kosong semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina supaya rondaan dapat dibuat secara lebih kerap,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.