SPR Tetapkan 2 Mac Tarikh Pengundian PRK DUN Semenyih

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon adalah 16 Februari sementara hari mengundi awal adalah 26 Februari.

Katanya, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 1 Mac depan.

“Untuk PRK ini, sebanyak 992 petugas dilantik untuk mengendalikannya manakala sebanyak 26 pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 119 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berhubung PRK berkenaan di sini hari ini.

SPR sebelum ini dilaporkan menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi DUN Semenyih berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor pada 11 Januari lalu.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.