PRK Cameron Highlands: Minta Undi PH Jika Mahu Pembangunan, Guan Eng Nafi Beri janji

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menafikan beliau menjanjikan projek pembangunan di Cameron Highlands bagi meraih sokongan untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, PH tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk wang atau projek pembangunan spesifik kepada pengundi di kawasan itu.

“Kami berbeza dari Barisan Nasional (BN). Pernah kamu nampak PH menjanjikan jalan atau jambatan baharu? Tidak… kami tidak pernah (berjanji),” katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan sini hari ini selepas mengumumkan pengatur utama bagi terbitan Bon Samurai.

Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilaporkan telah menggesa Guan Eng supaya memberi penjelasan kepada kenyataan yang didakwa dibuatnya iaitu memberitahu rakyat di Cameron Highlands supaya mengundi PH jika mereka mahu melihat ada pembangunan.

Guan Eng didakwa oleh sebuah portal berita dalam talian membuat kenyataan itu selepas melawat pasar malam Felda Sungai Koyan pada Rabu.

Guan Eng berkata, laporan itu tidak menyeluruh dan di luar konteks.

“Apa yang saya cakap ialah kita perlu ada dua kerajaan (kerajaan negeri BN dan kerajaan pusat PH) untuk memajukan Cameron Highlands bersama-sama,” kata beliau.

Guan Eng berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merupakan Adun Jelai yang terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands dan sekiranya Ahli Parlimen dari PH yang dipilih, maka kedua-duanya boleh membangunkan kawasan itu.

“Tetapi jika hanya bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata untuk membawa pembangunan ke Cameron Highlands, ia akan bertemu jalan buntu dan terganggu,” katanya.

Dengan Pahang mempunyai hutang yang tinggi iaitu RM3.1 bilion, Guan Eng berkata, “Adakah mereka mempunyai cukup dana untuk melaksanakan pembangunan yang telah mereka janjikan. Sebalik, kerajaan persekutuan berbeza, kami ada kemampuan untuk melaksanakannya.”

Guan Eng berkata, kerajaan pusat sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Cameron Highlands. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.