Mufti Dedah Ada Cubaan Sihirkan Imam Baharu Masjid

KANGAR – Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mendedahkan ada kariah di salah sebuah masjid mengugut boleh melakukan sihir terhadap imam yang baru dilantik di masjid berkenaan.

Ujar Mohd. Asri, situasi itu berlaku ketika mereka datang bertemunya baru-baru ini bagi meminta supaya imam lama masjid berkenaan dikembalikan.

“Mereka seakan mengugut. Kami boleh buat sihir Siam sehingga menyebabkan tok imam (imam baharu) muntah darah dan kembung perut.

“Kalau betul hendak berjuang agama takkanlah hendak main sihir begini. Sihir adalah benda syirik yang dilarang oleh agama. Takkan hanya kerana tok imam (ditukar) wujud tidak puas hati sampai nak main bomoh Siam.

“Kadang-kadang saya terfikir apa yang manusia cari sebenarnya di dalam hidup. Saya sebut ini supaya mereka dengar. Yang jumpa saya hari itu katanya anak tempatan,” katanya memetik video kuliah beliau yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini, ahli-ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi di sini berkumpul membantah tindakan memecat imam mereka selain mendesak Mohd. Asri meletak jawatan.

Susulan itu, mereka juga menyerahkan memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) bagi menuntut sekurang-kurangnya imam dua masjid itu dikembalikan.

Sebelum itu, tular sekeping surat dikeluarkan JHEAIPs berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Tambah Mohd. Asri, ketika perjumpaan tersebut mereka juga mahu imam baharu itu mengikut cara dan amalan mereka.

Dalam masa sama, beliau juga membangkit tindakan kumpulan tersebut melakukan demonstrasi di masjid berkenaan dan di pejabat JHEAIPs baru-baru ini.

“Adakah perbuatan menjerit-jerit bagi membantah imam yang dilantik pemerintah ini adalah satu amalan soleh dan mendapat pahala di sisi Allah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.