Jangan Jadikan Inkues Adib Modal Politik

PUTRAJAYA: Tindakan sesetengah pihak menjadikan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai modal politik ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah sangat tidak wajar.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata pihaknya tidak mahu perkara itu dipolitikkan oleh sesiapa untuk kepentingan tertentu kerana ia mungkin akan menjejaskan kredibiliti siasatan dan perpaduan masyarakat.

“Kita tidak bersetuju dengan perbuatan seumpama itu. Nasihat saya, ini (kematian Allahyarham Muhammad Adib) masih dalam siasatan dan sedang diambil tindakan inkues.

“Jadi, kalau kita buat sesuatu kenyataan, ia mungkin boleh bercanggah dengan apa yang sudah disiasat dan bukti yang diperoleh.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan sijil penghargaan kepada jurugambar NSTP, Ahmad Irham Mohd Noor ketika majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

“Ia sekali gus boleh menjejaskan kredibiliti penyiasatan yang dibuat selain mempunyai kesan terhadap undang-undang. Jadi, kita tidak mahu perkara ini digunakan untuk kepentingan tertentu.

“Sudah pasti kita sentiasa berharap keadilan untuk (Muhammad Adib) ini akan dipelihara dan diambil perhatian serius kerana kehilangan nyawa seorang penjawat awam yang ikhlas lagi jujur dalam melaksanakan tugas sehingga dianggap ikon dalam JBPM tidak boleh dinafikan dengan sesuatu yang tidak lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Tahun 2019 di sini, hari ini.

Mahkamah Shah Alam sebelum ini menetapkan 18 Januari bagi pengurusan kes inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, yang parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, awal pagi 26 November tahun lalu, sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.