Inkues Adib: Mahkamah Akan Dengar Hujah Siti Kassim

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner menetapkan 31 Januari depan untuk mendengar hujahan peguam, Siti Kassim yang didakwa bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman untuk dijadikan pihak berkepentingan dalam inkues Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Rofiah Mohamad selaku Koroner selepas Siti Kasim tidak hadir pada pengurusan kes hari ini.

Terdahulu, peguam Cyrus Tui Foo Weoi memaklumkan ketidakhadiran Siti Kassim kerana menghadiri Borneo Rainforest Conference.

Cyrus yang mewakili Majlis Peguam turut memohon menjadi peguam pemerhati dalam inkues itu atas alasan mempunyai kepentingan.

“Sebelum ini, menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung penglibatan seorang peguam yang didakwa mengupah gengster dalam insiden rusuhan kuil itu.

“Secara keseluruhan, kes ini melibatkan hak asasi dan kepentingan awam. saya percaya Majlis Peguam mempunyai kepentingan ” katanya.

Pada prosiding itu, Rofiah memutuskan peguam bagi pihak keluarga adalah pihak berkepentingan dalam inkues itu dan boleh mengemukakan soalan kepada saksi.

Keluarga Muhammad Adib diwakili oleh lima barisan peguam iaitu Muhammad Kamaruzzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Ahmad Lutfi Awang, Mohd Zubir Embong dan Mohd Tajuddin Abdul Razak manakala Syazlin Mansor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)

Koroner itu turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansor Saat menjadi peguam pemerhati dalam prosiding itu.

Perbicaraan ditetapkan selama 44 hari bermula 11 Februari sehingga 12 April depan. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.