Harga Petrol RON95 dan RON97 Naik 6 Sen, Diesel Naik 12 Sen

PUTRAJAYA – Harga runcit bahan api bagi petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing dinaikkan antara enam hingga 12 sen seliter mulai tengah malam ini untuk tempoh 19 hingga 25 Januari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menetapkan, harga bahan api bagi RON97 dinaikkan sebanyak 6 sen pada RM2.28 seliter, RON95 (RM1.98 seliter) dan diesel pula dinaikkan sebanyak 12 sen kepada RM2.17 seliter.

Menurutnya, harga baru itu ditetapkan berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kenaikan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang menunjukkan trend peningkatan berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$60 setong kepada AS$63 setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$68 setong kepada AS$72 setong bagi diesel,” katanya.

Pada minggu sebelumnya iaitu bagi tempoh (12 hingga 18 Januari), harga runcit petrol RON97 ditetapkan pada RM2.22 seliter, RON95 pada harga RM1.92 seliter dan diesel pula adalah RM2.05 seliter.

Pengguna mula menikmati harga lebih rendah bagi bahan api itu sejak 5 Januari lalu apabila kerajaan menetapkan harga runcit RON97, RON95 dan diesel diturunkan antara 14 hingga 27 sen.

Malah, bagi tempoh minggu kedua (12 hingga 18 Januari), harga runcit bagi RON97 dan RON95 diturunkan satu sen lagi kepada RM2.22 dan RM1.92 seliter manakala, diesel pula dinaikkan satu sen kepada RM2.05 seliter. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.