Turki Dijangka Lanjut Perintah Darurat, Buru Penentang Kerajaan

ANKARA – Turki dijangka umum lanjutan perintah darurat buat kali keenam sejak ia dilaksanakan susulan cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016.

Perintah itu yang pertama kalinya berkuat kuasa pada 15 Julai 2016, memberikan kuasa kepada kerajaan memburu suspek penyokong ulama Fethullah Gullen yang didakwa pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai dalang rampasan kuasa.

Gullen bagaimanapun sehingga kini mempertahankan beliau tidak mempunyai kaitan langsung dengan cubaan rampasan kuasa tersebut.

Lanjutan perintah darurat bagi tempoh tiga bulan disarankan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan Turki yang berlangsung pada Rabu.

Ia kemudian perlu mendapat kelulusan Majlis Menteri-menteri dan dikemukakan ke parlimen untuk diluluskan.

Perintah darurat sedia ada bakal tamat pada Jumaat, 19 Januari ini.

Ankara mempertahankan tindakan melanjutkan perintah darurat atas alasan cubaan rampasan kuasa berkenaan disifatkan terlampau serius dan rangkaian penyokong Gullen masih mengancam keselamatan negara itu.

Cubaan rampasan kuasa menyaksikan tentera pro pembangkang menyerang bangunan Parlimen dan beberapa bangunan kerajaan, hingga menyebabkan 250 nyawa terkorban.

Pelaksanaan perintah darurat juga menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan rundingan keanggotaan blok itu dengan Turki. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.