Terengganu Negeri Pertama Guna Bas Elektrik

Terengganu menjadi negeri pertama akan menggunakan bas elektrik menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).

Sebanyak empat bas elektrik daripada 11 bas bakal digunakan untuk fasa pertama perkhidmatan myBAS Kuala Terengganu yang dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia adalah satu kejayaan yang dicapai negeri itu.

Menurutnya, perkhidmatan myBAS itu satu lagi perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Pihaknya berharap myBAS yang menawarkan perkhidmatan merangkumi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara dapat digunakan dengan sebaiknya kepada rakyat.

“Secara keseluruhannya, perkhidmatan myBAS ini akan meliputi jarak 235.9 kilometer dan bakal menggunakan sebanyak 30 bas termasuk bas ganti secara berperingkat.

“Untuk fasa pertama akan membabitkan 11 bas dan fasa kedua dilaksanakan selepas tiga bulan selepas itu serta diikuti fasa ketiga bagi tempoh yang sama selepas itu,” katanya, lapor Metro

Beliau berkata demikian selepas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri menyaksikan majlis menandatangani kontrak myBAS Kuala Terengganu antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan MARA Liner Sdn Bhd.

Perkhidmatan myBAS Kuala Terengganu adalah yang kelima disediakan kerajaan selepas Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuching yang diwujudkan sejak 2015 bagi memberi khidmat pengangkutan awam selamat dan boleh diharapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.